Anda seorang pemalas? Atau
anda seorang bos yang kecewa dengan sikap pekerja-pekerja anda yang malas dan
lembap dalam melaksanakan tindakan? Jangan marah-marah. Mungkin anda perlu
melihat malas dalam horizon yang lebih luas.
Selain melihat malas lebih
kepada masalah psikologi atau sikap individu, malas juga boleh dilihat dari
sudut kesihatan. Seseorang itu mungkin malas kerana mempunyai penyakit yang
bersimptom kemalasan atau melibatkan hormon.
Malas bukan sekadar
keengganan untuk melakukan sesuatu aktiviti tetapi ia adalah koleksi sifat-sifat
buruk merangkumi sikap gemar bertangguh, tidak menepati waktu, tidak pandai
mengurus masa dan lemah untuk mengenal pasti apa yang perlu
diutamakan.
Dalam konteks kesihatan pekerjaan, malas diistilahkan sebagai
kurang produktiviti.
Subjektif
Malas juga bersifat subjektif
kerana ia bergantung kepada perspektif individu. Misalnya, jika seorang itu
boleh menghasilkan 10 bahan dalam seminggu sedangkan rakannya boleh menghasilkan
100 bahan dalam tempoh yang sama, dia mungkin dianggap malas.
Tetapi dia
mungkin tidak dianggap malas oleh bosnya sekiranya bosnya sendiri hanya mampu
menghasilkan 5 kerja dalam seminggu.
Punca Malas
Daripada konteks
kesihatan, malas boleh berlaku dalam 2 keadaan iaitu malas yang merupakan
simptom kepada sesuatu penyakit atau malas kerana kesan sampingan
ubat-ubatan.
Kekurangan Hormon Tiroid
Memang terdapat beberapa
penyakit yang boleh menjurus kepada sifat malas seperti penyakit hipotiroid yang
disebabkan oleh kekurangan hormon tiroid.
Apabila hormon tiroid kurang
dalam diri seseorang individu, maka ia biasanya akan memperlihatkan simptom
malas seperti mentalnya lambat memproses maklumat, lesu, pergerakan turut
menjadi lambat dan aktiviti metabolisme badan menjadi perlahan.
Hormon
tiroid dikeluarkan oleh kelenjar tiroid yang terletak di bahagian leher dan
menjaga beberapa fungsi utama badan. Hormon tiroid berkurangan boleh jadi
disebabkan oleh kekurangan pengambilan makanan beriodin seperti
ikan.
Penyakit ini hanya boleh dikenal pasti doktor dengan membuat ujian
darah. Rawatannya ialah dengan memberi ubat yang boleh meningkatkan kembali
paras hormon tiroid dalam diri.
Kesan Ubat-ubatan
Selain daripada
itu, kesan sampingan daripada pengambilan ubat juga boleh membawa kepada rasa
malas. Kurang daripada 5% pengambil sejenis ubat darah tinggi atau hipertensi
boleh mengalami kesan sampingan seperti kelembapan mental dan
fizikal.
Faktor Sekeliling
Depresi atau stres juga boleh
mendorong kepada rasa malas.
Contohnya, seseorang pekerja itu dilihat
seperti malas tapi sebenarnya bukan malas. Dia mungkin tertekan ekoran beban
kerja yang melampaui kemampuan dirinya atau beban kerja yang tidak seimbang
antara pekerja-pekerja. Interaksi antara bos dan pekerja mungkin boleh
memperbaiki keadaan.
Persekitaran turut mempengaruhi seseorang itu
menjadi malas. Dari sudut psikologi, malas boleh jadi disebabkan oleh cara
individu dibesarkan, pengaruh sekeliling dan kekurangan pengetahuan. Seorang itu
menjadi pemalas mungkin juga kerana cara dia dibesarkan yang mana semua yang
dikehendaki tersedia untuknya.
Seseorang itu juga mungkin menjadi malas
kerana ia dipengaruhi oleh orang sekelilingnya yang suka
bermalas-malasan.
Suka Bertangguh
Amalan bertangguh-tangguh atau
melengah-lengahkan kerja juga menjadi penyakit masyarakat moden kerana tekanan
hambatan masa.
Menurut sebuah majalah kesihatan, kajian terbaru mendapati
20 hingga 25% daripada manusia hari ini adalah seorang yang gemar bertangguh
berbanding hanya 5% pada tahun 1978.
2 Kategori Malas
Terdapat 2
kategori malas, iaitu malas pada perkara tertentu dan malas pada melakukan
banyak perkara.
Ada sesetengah orang itu kita lihat dia rajin di rumah
tapi di pejabat dia malas dan begitu juga sebaliknya. Mengapa ini berlaku? Ia
mungkin kerana minat terhadap aktiviti berkenaan kurang kerana kekurangan
pendedahan atau pengetahuan.
Mengatasi Malas
Justeru, untuk
mengatasi masalah malas ialah dengan mendapatkan pengetahuan secukupnya terhadap
apa yang perlu dibuat.
Para bos misalnya perlu peka dengan kondisi
pekerja. Mungkin mereka malas dan tidak produktif kerana mereka tidak tahu atau
jelas tentang kerja yang perlu dilakukan. Interaksi yang wujud antara bos dan
para pekerja mampu mendorong kepada peningkatan produktiviti.
Memberikan
motivasi juga merupakan salah satu cara untuk menyingkirkan sifat malas. Sebab
itulah pengkaji-pengkaji dari Australia pernah menyifatkan malas yang ekstrem
sebagai motivational deficiency disorder.
Motivasi boleh datang daripada
dalam diri individu itu sendiri dan boleh diperoleh daripada dorongan motivasi
orang lain. Motivasi bagi diri sendiri boleh diperoleh dengan menetapkan
matlamat yang khusus.
Selain daripada itu, bagi keadaan tertentu dan
tujuan yang baik, untuk menambah minat seseorang melakukan perkara itu boleh
juga menerusi paksaan.
Adakalanya penyakit malas perlu diubati dengan
paksaan. Bukankah dalam hidup kita ada perkara yang kita pada awalnya tidak
berminat tetapi berubah minat apabila didorong atau dipaksa untuk
melakukannya?
Seperti juga yang diajarkan dalam agama tentang hal solat.
Islam mendidik umatnya agar menyuruh anak sembahyang pada umur 7 tahun. Jika
pada umur 10 tahun, mereka tidak sembahyang, mereka perlu dipukul. Apabila
mereka sudah biasa melakukannya, ia boleh mendatangkan minat dan mereka membesar
menjadi seorang yang tidak malas untuk menunaikan solat.
No comments:
Post a Comment