Thursday, December 21, 2023

Seksyen 498 Dimansuh, Tidak Boleh Dakwa Lelaki Goda Isteri Orang

Bismillah: Seksyen 498 Dimansuhkan ?

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun telah memutuskan bahawa menggoda isteri orang lain untuk tujuan persetubuhan tidak lagi menjadi satu kesalahan di negara ini.

Ia dimansuhkan dengan alasan bahawa seksyen 498 ini tidak berperlembagaan.

Ini membuka satu lembaran baru dalam sejarah negara ini. Lembaran baru dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Keputusan ini pada hakikatnya telah menggoncang fondasi atau asas kehidupan sepasang suami isteri, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Ini bermakna ia telah menggoncang kehidupan beragama dan kehidupan secara beretika dan bermoral menurut apa yang telah di perlembagakan.

Dari mana datangnya idea bahawa seksyen ini tidak berperlembagaan ?

Bukankah perlembagaan yang mendakwa bahawa negara ini adalah sebuah negara Islam ?

Sudahkah keputusan yang begitu besar ini dibincangkan dengan Majlis Raja-raja Melayu ?

Apakah sudah diambil kira pandangan dan persetujuan dari Majlis Raja-raja Melayu mengenai pemansuhan seksyen ini ?

Bukankah Raja-raja Melayu yang telah bersumpah untuk mempertahankan Islam pada setiap masa ?

Apakah perkara sebesar ini sudah dibahaskan di Dewan Rakyat ?

Secara logiknya kenapa seksyen yang begitu baik seperti seksyen 498 ini perlu dimansuhkan ?

Wajarkah ruang untuk kejahatan dan kebinasaan itu dibuka seluas-luasnya hanya atas nama hak kesaksamaan wanita di sisi undang-undang ?

Pergaulan bebas yang menjadi budaya masyarakat hari ini sahaja sudah cukup untuk melahirkan begitu banyak skandal yang melibatkan suami orang dan isteri orang apatah lagi apabila seksyen seperti ini dimansuhkan.

Maka sudah tidak ada batas lagi bagi seorang isteri itu untuk bergaul dan bermesra dengan mana-mana lelaki. Ini kerana undang-undang di Malaysia telah membenarkannya.

Kalau sudah begini, apa lagi pilihan yang ada bagi seorang suami untuk mempertahankan hubungannya dengan isterinya selain dari mengurung isterinya di rumah.

Mungkin sudah sampai masanya bagi para suami yang berfikiran waras untuk mengurung isteri-isteri mereka dirumah demi mempertahankan keutuhan rumah tangga mereka.

Selain dari itu mungkin pilihan yang lebih baik bagi seorang lelaki adalah untuk tidak berkahwin. Apa faedahnya berkahwin kalau hati sentiasa dilanda kebimbangan yang isterinya setiap saat berkemungkinan digoda oleh lelaki lain.

Atau mungkin juga sudah sampai masanya untuk kita semua mempromosikan budaya dan gaya hidup seks bebas tanpa ikatan perkahwinan.

Kalau tidak pun budaya seperti ini sudah wujud sekian lama dan terus berkembang. Jadi dengan ketiadaan seksyen 498 bukankah wajar ia dipromosikan secara besar-besaran agar ia menjadi suatu norma dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di negara ini.

Kalau seks diluar tabii' manusia pun sudah semakin normal apatah lagi seks yang memang menjadi tabii' manusia.

Tepuk dada tanya selera. Saya sekadar menjadi pengamat kehidupan masyarakat yang semakin cacat logikanya dan semakin sesat dalam arus pemikirannya.

- Dato Dr Ramalan Yunus
Penganalisis politik dan ekonomi bebas
17 Disember 2023