Surah Al-Waqiah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran,
terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqiah kerana
diambil dari lafaz Al-Waqiah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang
ertinya kiamat.
Di dalam surah Al-Waqiah ini menerangkan tentang hari
kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir.
Diterangkan juga penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan dan api, sebagai bukti
kekuasaan Allah SWT dan adanya hari berbangkit.
Al-Waqiah Surah
Kekayaan
Surah Al-Waqiah memang terkenal dengan beberapa khasiatnya dan
kelebihan tersendiri dan hadis mengenainya adalah sahih.
1. Dengan mewiridkan
surah Al-Waqiah sebagai bacaan rutin setiap hari dan malam, maka Allah
menjauhkan kefakiran selamanya. Sa’ad Al Mufti mengatakan, bahawa hadis ini
sahih.
Rasulullah SAW bersabda:
Man qara’a suratal-Waqi’ati lam yaftaqir
abada.
“Sesiapa (membiasakan) membaca surah Al-Waqiah, maka ia tidak akan
kefakiran selamanya.”
2. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah
Al-Waqiah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
3. Daripada Ibnu
Mas’ud r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah setiap
malam, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.”
(HR: Al- Baihaqi)
4. Rasulullah SAW bersabda: “Ajarkanlah surah Al-Waqiah
kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis
riwayat Ibnu Ady)
5. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca surah
Al-Waqiah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan
selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan
ajarkan kepada anak-anakmu semua.”
Menurut fatwa sebahagian Ulama’
katanya: “Sesiapa membaca surah Al-Waqiah pada setiap hari dan malam dalam satu
majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan
rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta
berkah pula.”
Khasiat Surah Al-Waqiah
Di dalam surah Al-Waqiah
terkandung beberapa fadhilat dan khasiat, antara lain:
.
1. Mereka yang
membacanya sebagai wirid, Insya’Allah akan beroleh kesenangan
selama-lamanya.
2. Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu
kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.
3. Mereka yang membacanya
sebanyak 14 X setiap lepas Solat Asar, Insya’Allah akan dikurniakan dengan
kekayaan dan rezeki yang berlimpah ruah.
4. Jika dibaca surah ini sebanyak 41
X dalam satu majlis, Insya’Allah ditunaikan segala hajatnya khususnya yang
berkaitan dengan rezeki.
5. Menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur,
amalkan membaca surah ini sebanyak 3 X selepas Solat Subuh dan 3 X selepas Solat
Isyak. Insya’Allah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan
dijadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.
6. Amalan orang-orang sufi,
supaya dilimpahkan rezeki; Insya’Allah berhasil:
Hendaklah berpuasa selama
seminggu bermula pada hari Jumaat.
Selepas tiap solat fardhu bacalah Surah
Al-Waqiah sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat
berikutnya.
Pada malam Jumaat berikutnya, selepas solat Maghrib bacalah Surah
Al-Waqiah sebanyak 25 kali dan selepas solat Isyak sebanyak 125 kali.
Diikuti
dengan selawat ke atas Nabi sebanyak 1000 kali.
Setelah selesai, hendaklah ia
memperbanyakkan sedekah.
Kemudian amalkanlah Surah Al-Waqiah ini sekali pada
waktu pagi dan petang.
7. Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu
bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah, ayat
35-38 sebanyak 7 X. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga
kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga kita.
Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat
35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan
ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah
disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan
umurnya.”
8. Surah Al-Waqiah ini jika dibaca di sisi mayat atau orang yang
sedang nazak, Insya’Allah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika
dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian
dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, Insya’Allah segera melahirkan
dengan mudah. Boleh juga dibaca di sisi orang yang hendak bersalin sebagai
selusuh.
Petua Kaya Syeikh Abi’l Abbas
Menurut As’Syeikh Abi’l
Abbas katanya; Dengan mengamalkan seperti berikut, Insya’Allah, ia akan menjadi
orang kaya.
1. Bila hendak mengamalkan surah Al- Waqiah ini, terlebih
dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari
Khamis. Buka puasanya hanya makan sayur-sayuran / tumbuhan sahaja (tidak memakan
sesuatu yang bernyawa seperti tidak makan ikan, daging, segala haiwan).
2.
Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqiah sebanyak 25 X.
Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat
pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isyak
pada Jumaat berikutnya.
3. Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca
surah Al-Waqiah sebanyak 125 X, kemudian berselawat 1000 X.
Insya’Allah,
dengan mengamalkan surah Al-Waqiah seperti yang diberitahu dalam hadis-hadis
Nabi SAW, kita akan memperolehi rezki yang banyak, supaya kita dapat menolong
dan membantu orang lain yang memerlukan bantuan dan memperbanyakkan lagi amal
jariah kita supaya dapat dibawa ke sana nanti.
Bacalah surah Al-Waqiah ini
dengan hati yang ikhlas memohon rezki dariNya. Jangan berniat untuk kaya di
dunia yang sementara. Dalam niat kita dengan rezeki yang banyak kita dapat
beribadat kepadaNya dan membuat amal jariah. Barulah Allah SWT memperkenankan
doa-doa kita.
Sebaiknya amalkan baca semua surah dalam Al-Quran
ReplyDelete