Sunday, January 25, 2026

Jangan Kejutkan Harimau Tidur: Kisah Lelaki 'Penyabar' Yang Membina Kereta Kebal Sendiri Demi Sebuah Dendam.

"Jangan Kejutkan Harimau Tidur: Kisah Lelaki 'Penyabar' Yang Membina Kereta Kebal Sendiri Demi Sebuah Dendam."

Oleh: Mazlan Syafie

Dalam dunia ni, ada satu jenis manusia yang paling bahaya. Bukan samseng jalanan yang bising memekak, bukan juga penjenayah yang muka pecah rumah.

Manusia paling bahaya adalah orang pendiam yang "penyabar".

Orang yang hari-hari senyum, buat kerja sendiri, tak kacau orang. Tapi bila dia ditekan, dibuli dan dipijak maruahnya sampai ke dinding... sekali dia meletup, Tuhan saja yang tahu akibatnya.

Inilah kisah Marvin Heemeyer.

Tahun 2004, di sebuah pekan kecil bernama Granby di Colorado, Marvin hanyalah seorang tukang kimpal dan pembaiki muffler (ekzos) yang mahir.

Dia ada kedai kecil. Dia hidup tenang. Orang kata dia ni jenis "workaholic", tapi baik hati. Kalau kawan minta tolong, dia tolong.

Tapi ketenangan hidup Marvin mula diganggu oleh Majlis Perbandaran (Town Council) dan orang-orang kaya di pekan tu.

Kisahnya bermula bila sebuah kilang simen nak dibina betul-betul di sebelah kedai Marvin. Kilang tu akan tutup jalan masuk ke kedai dia. Habislah bisnes dia kalau macam tu.

Marvin cuba bantah cara elok. Dia pergi mesyuarat, dia bawa petisyen, dia cakap elok-elok.

Tapi orang atasan pandang dia sebelah mata je. Macam biasa jumpa situasi ni kan? 

"Siapa kau? Kau tu tukang baiki ekzos je."

Bukan setakat bantahan dia ditolak, malah Majlis Perbandaran buat benda lagi jahat. Mereka potong sambungan paip kumbahan (sewage line) ke kedai Marvin.

Lepas tu, mereka saman Marvin sebab "gagal ada sistem kumbahan yang betul".

Nampak tak permainan dia? Mereka tutup paip dia, lepas tu mereka denda dia sebab tak ada paip.

Denda tu bukan sikit. Ribuan dolar. Ditambah lagi dengan pelbagai sekatan birokrasi yang memang sengaja direka nak bankrapkan Marvin.

Marvin rasa dirinya diperkotak-katikkan. Dia rasa sistem undang-undang tak memihak pada orang kecil macam dia. Dia dah habis duit upah peguam, tapi kalah juga.

Dia juga baru putus cinta dan ayahnya baru meninggal dunia. Tekanan demi tekanan datang bertimpa-timpa.

Ramai orang, bila kena macam ni, mereka akan pindah. Mereka akan mengalah, jual hartanah tu murah-murah dan pergi bawa diri yang luka itu.

Tapi Marvin bukan orang yang macam tu.

Dalam diam, Marvin beli sebuah jentolak gergasi jenama Komatsu D355A.

Orang ingat dia beli jentolak tu nak buat kerja baiki jalan masuk kedai dia sendiri (sebab kerajaan tak nak tolong). Tapi sebenarnya, dia ada plan lain.

Dia bawa masuk jentolak tu ke dalam garaj bengkel dia. Dia kunci pintu.

Selama 18 bulan, jiran-jiran cuma dengar bunyi bising dari dalam bengkel Marvin. Bunyi welding, bunyi ketuk besi, bunyi gergaji.

Tak ada siapa tahu apa dia buat.

Rupa-rupanya, Marvin sedang membina sebuah "Raksasa".

Dia gunakan kepakaran kimpalan dia untuk salut atau lindung jentolak tu dengan lapisan keluli dan konkrit.

Tuan-tuan bayangkan, dia buat dinding besi setebal SATU KAKI.

Dia lapiskan besi, kemudian tuang konkrit, kemudian lapis lagi dengan besi. Sandwich besi yang kebal. Peluru meriam pun belum tentu tembus.

Dia pasang kamera CCTV di luar yang disambung ke monitor di dalam kokpit, supaya dia boleh nampak jalan tanpa perlu ada tingkap. Tingkap adalah kelemahan, jadi dia tutup semua tingkap dengan besi padu.

Dia pasang kipas angin untuk sejukkan enjin dan diri dia. Dia pasang lubang kecil untuk letak senapang.

Dan benda paling menakutkan... dia reka kokpit tu untuk sehala.

Bila dia dah masuk ke dalam dan turunkan penutup besi tu guna kren... dia tak boleh keluar dah.

Tiada pintu. Tiada jalan keluar.

Marvin tahu, sekali enjin Komatsu tu dihidupkan untuk misi ini, itu adalah perjalanan terakhir dia. Dia tak berniat langsung untuk hidup selepas kejadian ni. Fuh... 

Tarikh 4 Jun 2004, adalah hari pembalasan.
Pekan Granby yang tenang tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman dinding pecah.

Dari dalam bengkel Marvin, keluar sebuah jentolak raksasa yang rupa dia dah tak macam jentolak. Rupa dia macam kereta kebal.

Marvin tak buang banyak masa.

Sasaran pertama dia: Kilang simen yang menyusahkan hidup dia tu.

Dengan kuasa kuda yang gila kuatnya, Marvin langgar bangunan kilang tu sampai ranap.

Jentolak tu rempuh dinding macam langgar kotak tisu. Habis hancur segala peralatan dalam kilang tu.

Pekerja lari lintang pukang selamatkan diri.
Lepas setel kilang simen, Marvin pusing stereng ke arah bandar.

Dia pergi ke Dewan Bandaraya (Town Hall). Tempat di mana denda-denda dan perkara-perkara bodoh tu dikeluarkan.

Pranggg! Dinding Dewan Bandaraya runtuh disondol Marvin.

Dia pergi ke pejabat surat khabar tempatan yang selalu tulis artikel memburukkan dia. Dia ratakan bangunan tu.

Dia pergi ke rumah bekas Datuk Bandar (Mayor). Dia pergi ke rumah ahli majlis yang gelakkan dia dulu.

Polis sampai. Mereka tembak.

Bang! Bang! Bang!

Ribuan peluru ditembak. Pistol, senapang M16, senapang patah.

Tapi peluru-peluru tu cuma melantun kena dinding besi Marvin. Ting! Ting! Macam baling batu kecil kat kereta kebal.

Polis panik. Mereka panggil SWAT. SWAT datang bawa bom tangan (flashbang) dan peledak.

Mereka letak bom kat trek jentolak tu. Meletup!

Tapi jentolak tu jalan terus macam tak ada apa berlaku. Marvin buat lapisan perisai tu terlalu tebal.

Malah, ada seorang polis ni, dalam keadaan terdesak, dia panjat naik atas bumbung jentolak tu masa tengah bergerak. Dia cuba cari lubang nak tembak Marvin.

Tak jumpa. Marvin dah tutup semua celah. Polis tu terpaksa terjun balik sebab takut jatuh digelek.

Gabenor Colorado dah hampir nak panggil helikopter Apache Tentera Udara untuk tembak misil anti-tank. Bayangkan, sampai tahap tu kerajaan takut dengan seorang tukang kimpal ni.

Selama dua jam, Marvin membalas dendam.
Dia hancurkan 13 bangunan. Kerugian cecah USD 7 Juta (sekitar RM30 juta).

Pekan Granby lumpuh. Bekalan gas bocor, elektrik putus.

Tapi ada satu benda yang pelik.

Walaupun Marvin ada senapang dalam jentolak tu dan walaupun dia tengah marah gila... dia tak tembak orang.

Dia cuma sasarkan bangunan. Harta benda. Simbol kekuasaan mereka yang buli dia.

Bila ada orang awam dekat, dia berhenti atau elak.

Nampak tak? Walaupun dah jadi "raksasa", sisa-sisa kemanusiaan Marvin masih ada. Dia bukan pembunuh. Dia cuma nak hantar mesej: "Kau hancurkan hidup aku, aku hancurkan bangunan kau."

Akhirnya, takdir penamat Marvin tiba.

Semasa dia tengah hancurkan sebuah kedai hardware (milik salah seorang musuh dia), trek jentolak dia tersangkut dalam lubang basement yang runtuh.

Enjin dia mula berasap. Radiator pecah. Jentolak tu mati.

Polis mengepung. Mereka dengar bunyi satu tembakan dari dalam kokpit.

Kemudian sunyi.

Marvin Heemeyer, lelaki yang melawan sistem seorang diri, memilih untuk tamatkan riwayatnya sendiri daripada ditangkap.

Polis ambil masa berjam-jam, malah kena guna pemotong besi oxy-acetylene untuk potong perisai besi yang Marvin buat tu, baru boleh keluarkan mayat dia.

Betapa kukuhnya "keranda" yang dia bina untuk diri dia sendiri.

Kisah Marvin Heemeyer ni tinggalkan perdebatan besar sampai hari ini.

Ada yang kata dia peng**nas. Gila. Jahat sebab musnahkan bandar.

Tapi ramai juga yang anggap dia "Folk Hero" (Wira Rakyat).

Dia simbol kepada orang kecil yang dah muak dibuli oleh orang besar. Dia simbol kepada had kesabaran manusia.

Dalam nota yang ditinggalkan, Marvin tulis:
"I was always willing to be reasonable until I had to be unreasonable. Sometimes reasonable men must do unreasonable things."

(Aku sentiasa sedia untuk bertolak ansur, sampailah aku dipaksa untuk tidak bertolak ansur. Kadangkala, orang yang waras terpaksa buat benda yang tak waras.)

Jadi, apa pengajaran untuk kita?

Jangan buli orang. Jangan ingat bila kita ada kuasa, ada pangkat, kita boleh pijak orang bawah sesuka hati.

Jangan ingat bila kita dah ada kuasa, dah jadi pemimpin, dah pegang negara, kita boleh langgar semua undang-undang. Orang bersalah dilindungi, yang tak bersalah tiba-tiba jadi bersalah.

Kita tak tahu apa yang orang tu sedang pendam.
Kita tak tahu bila "fius" kesabaran dia akan putus.

Mungkin hari ini dia diam, dia senyum, dia angguk.
Tapi dalam diam, mungkin dia sedang "mengimpal" perisai hatinya, bersiap sedia untuk hari pembalasan yang kita takkan mampu halang.

Ingatlah tuan-tuan, setiap orang ada hadnya. Jangan sampai kita jadi punca lahirnya satu lagi "Killdozer" dalam hidup kita.

Sesungguhnya setiap perbuatan zalim itu pasti ada balasannya, sama ada di dunia atau di akhirat.

Kisah Marvin ini adalah satu tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan jika sifat tolak ansur dan ehsan wujud dalam hati mereka yang berkuasa.

Moga kita sentiasa dilindungi daripada menzalimi orang lain dan dizalimi oleh mereka yang lupa diri.

No comments:

Post a Comment