Tuesday, August 20, 2013

Masa untuk jadi KAYA


“Masa” memainkan peranan yang amat penting dalam mengumpul dan mengembangkan wang kita. Lebih banyak masa yang kita ada, lebih besar wang dapat mengembang. Ertinya, lebih awal anda sedar dan ambil tindakan memperbaiki keadaan kewangan anda, maka lebih banyak masa untuk wang anda bertambah dan terus bertambah.

Mari kita lihat dua beradik kembar Lili dan Didi. Lili berumur 25 tahun dan merupakan pembaca blog ini ;) . Lili sedar betapa pentingnya menjaga kewangan dan mula menyimpan pada usia yang muda. Setiap bulan tanpa terlepas, Lili menyimpan dan melabur RM400 ke akaun pelaburan yang memberi pulangan pelaburan 12% setahun. Sekiranya kita melihat 20 tahun akan datang,  simpanan Lili dalam akaun pelaburannya telah menjadi RM345,800. Ketika itu, Lili berumur 45 tahun.

Didi pula, agak terlewat menyedari tentang pentingnya menjaga kewangan. Didi hanya mula menyimpan dan melabur ketika berumur 30 tahun- lewat 5 tahun selepas Lili. Oleh kerana pendapatan Didi tinggi sedikit, Didi boleh menyimpan RM700 setiap bulan dan dilaburkan pada akaun pelaburan yang sama memberi 12% pulangan pelaburan. Apabila Didi mencapai umur 45 tahun, jumlah simpanan Didi telah menjadi RM313,100.

Adakah anda dapat lihat perbezaannya? Walaupun Lili menyimpan hanya RM400 sebulan, manakala kembarnya Didi menyimpan RM700 sebulan, oleh kerana Lili mula menyimpan 5 tahun lebih awal, jumlah yang dimiliki adalah lebih tinggi lagi apabila keduanya berumur 45 tahun walaupun simpanan bulanannya adalah jauh kurang.

Masa memainkan peranan yang amat penting dalam pulangan pelaburan. Lebih lama wang disimpan dan dibiarkan mengembang oleh pulangan pelaburan, kenaikannya akan menjadi mendadak. Konsep ini dikenali sebagai pulangan kompaun (compound returns).

Pastinya anda pernah dengar istilah “yang kaya semakin kaya” bukan? Antara sebabnya adalah, mereka yang kaya, faham tentang konsep pulangan kompaun ini. Sekiranya sejumlah wang dilaburkan pada pulangan 10% setahun, dan jangan diusik selama 7 tahun, wang tersebut akan berganda dua! Ertinya, sekiranya seorang jutawan memiliki RM1,000,000 yang tidak disentuh, dan diberi pulangan pelaburan 10% setahun selama 7 tahun. Wangnya akan menjadi RM2,000,000- tanpa perlu melakukan apa kerja sekali pun!

Tidak kira, jutawan atau tidak, pulangan kompaun ini akan terjadi pada sesiapa sahaja yang memahaminya. Dan lebih banyak masa yang diberikan, lebih besar wang kita akan berkembang. Lebih awal anda menyedari hakikat ini, maka, lebih baik untuk anda mulakan sekarang!

No comments:

Post a Comment