Thursday, August 1, 2013

McD???

Isu ni dari dulu tak selesai-selesai, tiada penghujung dan noktahnya.. Mungkin sedikit penjelasan dan ulasan akan memberikan sedikit pencerahan.

Berkaitan kenyataan McD Malaysia. McD Malaysia membayar yuran franchisee kpd McD Corp USA. Ada puluhan ribu restoran McD di seluruh dunia. Walaupun setiap dari Restoran McD ini menyumbang sebanyak 5% dari hasil mereka ini sudah berjumlah ratusan juta USD (bahkan mungkin billion dollar).

Oleh kerana McD secara konsisten ada menyumbang kepada ekonomi Israel sejak 30 tahun yang lalu, maka kita harus menyampaikn mesej yang jelas lagi tegas di seluruh dunia kepada semua negara di mana McD ada membuka cawangan.

Jika setiap negara di mana McD beroperasi membuat penafian bahawa ‘mereka tidak menyumbang kepada Israel’ bahkan mereka adalah syarikat berdaftar di negara masing-masing, maka pemboikotan akan gagal dan McD Corporation US bolih meneruskan sokongan tidak berbelah bagi kepada Israel.

Tetapi jika setiap warga dunia mula memboikot operasi McD di negera masing-masing maka ini akan menyampaikan mesej yang jelas supaya McD Corp US menghentikan sokongannya kepada Israel.

Bayangkan jika kutipan dari yuran franchisee sahaja jumlahnya ratusan juta dollar sehari, berapa banyak jentera perang yang bolih dibeli oleh Israel dengan sumbangan McD bagi membunuh rakyat Palestin.

Kerana itu, boikot adalah satu ‘peperangan’. Seruan boikot akan diterjah semula oleh pihak musuh dengan mengatakan kami ‘cawangan tempatan’ dan kami hanya membayar cukai kpd kerajaan kita. Lagipun kami menyumbang kepada ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Jika semua negara membuat pengistiharan seperti ini dan semua warga dunia terpedaya dengan seruan kata-kata manis ini, maka boikot akan gagal secara keseluruhannya (total failure).

Tetapi apabila McD seberang laut menerima tempias dari polisi McD Corp yang membiayai Israel, maka akhirnya McD Corp terpaksa berfikir lagi sebelum meneruskan sokongannya kepada zionis kerana keuntungan seberang lautnya mula menyusut.

Ini boleh dibuktikan betapa lebih 400 buah restoran rangkain McDonald di Jepun sudah gulung tikar dan beberapa ratus lagi bakal menyusul Ingat boikot adalah peperangan dan musuh akan menggunakan hujjah ‘yang masuk akal’ untuk menggagalkan strategi boikot.

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan dengan maksudnya: " Sesungguhnya di kalangan kamu yang melihat perkara mungkar, hendaklah dia mengubah dengan tangannya, kalau tidak berkuasa mengubah dengan tangan ,maka dengan lidah, kalau tidak berkuasa dengan lidah, maka benci di dalam hati, itulah tanda selemah-lemah iman." Mengikut satu riwayat lain dan tidak ada selepas daripada itu iman walaupun sebijik sawi. Ertinya kalau benci di dalam hati tidak ada, maka bererti bersetujulah dengan kemungkaran yang berlaku.

Nak pergi ke Gaza untuk sama-sama berjuang dengan para Mujahiddin Hamas sudah pasti kita tidak ada kemampuan, maka cara selemah-lemah jihad yang mampu kita lakukan ialah

BOIKOT RESTORAN MCDONALD... KITA TIDAK AKAN MATI DAN RUGI JIKA TIDAK MENJAMAH BURGER ATAU APA JUA MAKANAN YANG DIJUAL DIRESTORAN MCDONALD... BANYAK LAGI MAKAN ALTERNATIF YANG BOLEH DIPEROLEHI DIRESTORAN LAIN.

JADILAH SEORANG MANUSIA YANG ADA PERASAAN KEMANUSIAAN. 

Hikmah aktiviti lawan arah jam

Bagaimanakah anda mengacau makanan atau minuman? Menggunakan arah jam atau arah lawan jam?

Berpandukan sunnah Rasulullah, baginda sentiasa mengacau dengan menggunakan arah lawan jam. Tentu ada hikmah tersirat di sebalik perbuatan Rasulullah yang mulia. Mari kita soroti, mudah-mudahan Allah memberi kita petunjuk.

Pada struktur atom, terdapat electrons yg merupakan satu-satunya objek yang bergerak dalam atom. Ia mengandungi cas negatif dan berputar mengelingi nucleus dlm kedudukan arah lawan jam.

Pergerakan cytoplasm di dalam sel adalah mengikut arah lawan jam.

Bumi dan bulan berputar pada paksinya juga mengikut arah lawan jam.

Begitu juga peredaran bulan beredar mengelilingi bumi, dan bumi beredar mengelilingi matahari, mengikut arah lawan jam.

Planet-planet di angkasa juga mengelilingi Matahari dalam gerakan arah lawan jam.

Matahari berputar pada paksinya juga mengikut arah lawan jam.

Tidak dilupakan, galaksi juga bergerak mengikut arah lawan jam.

Lihat pula syarat tawaf dalam ibadah haji, harus mengikut arah lawan jam.Tawaf dalam ibadah haji, dilakukan mengikut arah lawan jam.

Mengikut artikel "Rahsia Kaabah" yang saya baca, dijelaskan bahawa antara faktor-faktor yang menyebabkan pusaran tenaga sangat besar di Kaabah dan mengapa berdoa di Multazam sangat mustajab ialah kerana arah tawaf mengikut arah lawan jam. Bagaimana?

Hukum Tangan Kanan (Right Hand Rule)
Dalam fizik, Hukum Tangan Kanan (Right Hand Rule) menerangkan bahawa jika ada sebatang konduktor yang di kelililingi oleh arus yang mengalir mengikutarah lawan jam, maka akan terhasil suatu daya elektromagnetik yang menghala ke atas.

Ketika jutaan orang sedang bertawaf mengelilingi Kaabah, hal ini seperti ada suatu arus elektrik yang besar, terjana daripada bio electrons dalam tubuh manusia, bergerak mengikut arah lawan jam yang mengelilingi Kaabah. Hasilnya ialah gelombang elektromagnetik yang keluar dari Kaabah.

Jadi dari situlah rahsia mengapa apabila kita berdoa di Multazam sangat mustajab. Ini kerana tenaga dari doa kita menumpang gelombang elektromagnetik yang keluar dari Kaabah. Maka kekuatan doa kita menjadi berlipat kali ganda.

Dalam persoalan mengacau makanan dan minuman mengikut arah lawan jam, saya pernah terbaca bahawa pakar metafizik mengatakan bahawa cara kacau air mengikut arah lawan jam dapat menghasilkan tenaga positif. Mungkin ia menggunakan prinsip yang sama, berpandukan Hukum Tangan Kanan. Sebab itulah banyak terapi melalui minuman selalunya mempunyai arahan supaya dikacau minuman tersebut melalui lawan arah jam. Wallahu a'lam.

Jika ini benar, maka terbuktilah keajaiban sunnah!

Budaya Duit Raya

Budaya Duit Raya
-----------------

1. Saya belum terbaca ada ulama yang mengharamkan perbuatan ini. Makruh pun tidak. Perbuatan ini sama ada harus (hadiah) atau pun sunat (sedekah).

2. Dalam buku Tarbiyatul Awlad atau Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam yang ditulis oleh almarhum Sheikh Abdullah Nasih Ulwan, menulis secara spesifik antara hak seorang teman itu adalah - Saling menghadiahi pada musim-musim tertentu atau pun upacara tertentu. Antara sandaran hadis adalah yang direkodkan oleh Imam Thabrani dalam al-Ausath:

Bertukar-tukarlah dalam hadiah, nescaya timbul semangat saling sayang-menyayangi.

3. Malah semasa hari raya juga kita disunatkan berpakaian yang cantik-cantik (tidak semestinya baru dan mahal), wangi-wangi, hensem-hensem agar kita berada dalam suasana suka, riang dan gembira sepanjang hari raya.

4. Justeru kita tidak perlu sampai mengharamkan.

5. Jika kita tidak suka, tidak perlu bagi. Namun pastikan hari raya kita adalah hari raya yang gembira dengan banyak lagi cara lain selagi mana Syariat membenarkannya. Bukannya tidak mahu bagi duit raya sampai tutup pintu rumah tidak mahu diziarahi dan tidak menziarah orang lain.

6. Bab si pemberi duit raya nak menunjuk-nunjuk, riyak dan takabbur itu bukan urusan kita. Itu urusan hati. Urusan hati ini Allah swt sahaja yang layak menilainya.

7. Barangkali jika tak mahu beri duit raya pada hari raya, tuan puan juga dapat memberi duit raya sebelum hari raya kepada golongan-golongan ini:

    -Pak guard di kawasan rumah / pejabat
    -Makcik cleaner di kawasan rumah / pejabat
    -Tukang kutip sampah di kawasan rumah, pejabat
    -Dan golongan yang kita maklum pendapatan mereka rendah di sekeliling kita dan pemberian duit raya kita itu dapat menggembirakan mereka pada hari raya. Dapat pahala sunat beri sedekah dan juga menggembirakan orang lain di hari raya.

8. Kita juga semakin hilang budaya bertukar makanan pada hari raya. Kita masak lebih rendang ayam kita dan diberikan kepada jiran-jiran pada pagi subuh sebelum solat sunat Eidulfitri. Sudah lah tak mahu bagi duit raya, makanan raya pun kedekut tak mahu berkongsi.

9. Saya suka budaya memberi dihidupkan dalam masyarakat. Tidak kisahlah dalam bentuk duit raya, juadah raya, hadiah hari raya, tolong beli baju raya mahupun tol percuma di lebuh raya ketika hari raya. Sama ada kepada anak-anak yang masih bersekolah walaupun diketahui bapaknya berharta (yang kaya bapak bukan anak), anak-anak yatim dan mereka yang susah. Yang tidak mahu bagi tidak apalah, tapi jangan halang orang lain yang mahu memberi.

10. Pada masa yang sama kita juga perlu didik anak-anak kita perbuatan beri duit raya ini bukanlah perkara yang wajib sehingga kalau tak dapat duit raya anak kita memandang serong pula kepada tuan rumah.

Tuesday, July 30, 2013

Kerinduan Rasulullah Pada Umat Akhir Zaman

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. “Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? ” Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

“Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan),” suara Rasulullah bernada rendah.

“Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah,” kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara, “Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.”

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda: “Siapakah yang paling ajaib imannya?” tanya Rasulullah. “Malaikat,” jawab sahabat.

“Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah,” jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, ” Para nabi.”

“Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka.”

“Mungkin kami,” celah seorang sahabat.

“Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau,” pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

“Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui,” jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

“Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku,” jelas Rasulullah.

“Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka,” ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.

Pada kita yang bersungguh-sungguh mahu menjadi kekasih kepada kekasih Allah itu, wajarlah bagi kita untuk mengikis cinta-cinta yang lain. Cinta yang dapat merenggangkan hubungan hati kita dengan baginda Rasulullah.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah s.a.w…

8 foods for healthy eyes

Berikut adalah makanan yang boleh membantu untuk mengekal dan memperbaiki penglihatan anda; 

1. Lobak Merah 
Lobak merah kaya dengan Betacaotene (pelopor kepada Vitamin A, nutrien yang diperlukan untuk penglihatan), Lycopene (nutrien perlindungan sinaran UV pada mata) dan Lutein (nutrien yang melindungi kerosakan pada radikal mata). Jika anda mengalami masalah penglihatan, disarankan makan lebih banyak lobak merah. 

2. Teh 
Jika anda menggemari segala jenis teh, anda sedang melakukan tindakan yang betul untuk mencegah katarak mata. Teh membantu mengawal pertumbuhan darah baru di belakang mata. Pakar menjelaskan jika terlalu banyak saluran darah di sebalik retina, ia kan menyebabkan kebocoran darah dan cecair yang menjurus kepada bintik buta. 

3. Bawang Putih & Bawang Merah 
Bawang putih dan merah sangat penting dalam pengeluaran Glutation, sejenis sulfur yang bertindak sebagai anti oksidan untuk kanta mata. 

4. Kacang Walnut 
Kacang Walnut mengandungi sumber Omega- 3, Vitamin E dan antioksidan yang tinggi. Nutrien ini amat penting dalam memerangi radang mata. 

5. Tomato 
Tomato juga mengandungi dua nutrien penting untuk mata iaitu lycopene dan lutein. Tomato juga berkesan mencegah kanser mata. 

6. Kacang Soya
Jika anda merupakan peminat kicap dan tempe, anda tentu gembira mengetahui bahawa kacang soya merupakan salah satu makanan penting untuk mata . Kacang soya mengandungi antioksidan yang kuat yang dipanggil isoflavon. Antioksidan ini melindungi mata daripada sindrom mata kering. 

7. Telur
Percaya atau tidak, telur juga baik untuk penglihatan. Sebatian sulfur, protein dan cysteine membantu melindungi mata daripada pertumbuhan katarak. Makan telur sehari sekali sudah memadai bagi penjagaan mata. 

8. Brokoli 
Brokoli mengaktifkan enzim anti – radang dalam badan untuk menggalakkan detoksifikasi termasuk mencegah keradangan di bahagian belakang mata.

PERANAN ZIKIR



JANGAN MENINGGALKAN ZIKIR LANTARAN ENGKAU BELUM SELALU INGAT KEPADA ALLAH S.W.T KETIKA BERZIKIR, SEBAB KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA TIDAK BERZIKIR LEBIH BAHAYA DARIPADA KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA KAMU BERZIKIR. SEMOGA ALLAH S.W.T MENAIKKAN DARJAT KAMU DARIPADA ZIKIR DENGAN KELALAIAN KEPADA ZIKIR YANG DISERTAI INGAT KEPADA ALLAH S.W.T, DAN MUDAH-MUDAHAN ALLAH S.W.T AKAN MENGANGKAT KAMU DARIPADA ZIKIR YANG BESERTA KEHADIRAN ALLAH S.W.T DI DALAM HATI KAMU KEPADA ZIKIR DI MANA LENYAPNYA SEGALA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T. HAL YANG DEMIKIAN ITU TIDAKLAH SUKAR BAGI ALLAH S.W.T.

Empat keadaan yang berkaitan dengan zikir: 
1:  Tidak berzikir langsung. 
2:  Berzikir dalam keadaan hati tidak ingat kepada Allah    s.w.t. 
3:  Berzikir dengan disertai rasa kehadiran Allah s.w.t di dalam hati. 
4:  Berzikir  dalam keadaan fana dari makhluk, lenyap segala sesuatu dari hati, hanya Allah s.w.t sahaja yang ada.

Bukanlah sukar bagi Allah s.w.t untuk mengubah suasana hati hamba-Nya yang berzikir dari suasana yang kurang baik kepada yang lebih baik hingga mencapai yang terbaik.

 Kerohanian manusia berada dalam beberapa darjat, maka suasana zikir juga berbeza-beza, mengikut darjat rohaninya. Darjat yang paling rendah adalah si raghib yang telah tenat dikuasai oleh syaitan dan dunia. Cahaya api syaitan dan fatamorgana dunia menutup hatinya sehingga dia tidak sedikit pun mengingati Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-ayat Allah s.w.t tidak melekat pada hatinya. Inilah golongan Islam yang dijajah oleh sifat munafik. Golongan ini tidak berzikir langsung.

 Golongan kedua berzikir dengan lidah tetapi hati tidak ikut berzikir. Lidah menyebut nama Allah s.w.t, tetapi ingatan tertuju kepada harta, pekerjaan, perempuan, hiburan dan lain-lain. Inilah golongan orang Islam yang awam. Mereka dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir kerana dengan meninggalkan zikir mereka akan lebih dihanyutkan oleh kelalaian.. Tanpa zikir, syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini berperanan sebagai ‘juru ingat’. Sebutan lidah menjadi teman yang mengingatkan hati yang lalai. Lidah dan hati berperanan seperti dua orang yang mempunyai minat yang berbeza. Seorang enggan mendengar sebutan nama Allah s.w.t, sementara yang seorang lagi memaksanya mendengar dia menyebut nama Allah s.w.t. Sahabat yang berzikir (lidah) mestilah memaksa bersungguh-sungguh agar temannya (hati) mendengar ucapannya. Di sini terjadilah peperangan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang disokong oleh tenaga dunia yang cuba menghalang tenaga zikir dari memasuki hati.

 Golongan yang ke tiga pula adalah mereka yang tenaga zikirnya sudah berjaya memecahkan dinding yang dibina oleh syaitan dan dunia. Ucapan zikir sudah boleh masuk ke dalam hati. Tenaga zikir bertindak menyucikan hati daripada karat-karat yang melekat padanya. Pada mulanya ucapan zikir masuk ke dalam hati sebagai sebutan nama-nama Allah s.w.t. Setelah karat hati sudah hilang maka sebutan nama-nama Allah s.w.t akan disertai oleh rasa mesra yang mengandungi kelazatan. Pada peringkat ini zikir tidak lagi dibuat secara paksa. Hati akan berzikir tanpa menggunakan lidah. Sebutan nama-nama Allah s.w.t menghalakan hati kepada Empunya nama-nama, merasai sifat-sifat-Nya sebagaimana dinamakan.

 Golongan ke empat ialah mereka yang telah sepenuhnya dikuasai oleh Haq atau hal ketuhanan. Mereka sudah keluar dari sempadan alam maujud dan masuk ke dalam hal yang tidak ada alam, yang ada hanya Allah s.w.t. Tubuh kasar mereka masih berada di atas muka bumi, bersama-sama makhluk yang lain. Tetapi, kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk sekaliannya sudah tidak ada, maka kewujudan sekalian yang maujud tidak sedikit pun mempengaruhi hatinya. Mereka karam dalam zikir dan yang dizikirkan. Mereka yang berada pada tahap ini telah terlepas dari ikatan manusiawi dan seterusnya mencapai penglihatan hakiki.

 Mereka yang mempunyai penglihatan hakiki mata hati ada dua jenis. Jenis pertama adalah yang mempunyai nama dan tabir penutup. Hijab nama (asma’) tidak terangkat lalu dia melihat di dalam hijab. Dia melihat Allah s.w.t pada apa yang menghijabkannya. Zikirnya ialah nama yang padanya dia melihat Allah s.w.t. Jenis kedua pula ialah yang berpisah dengan nama dan hijab, lalu dia melihat Allah s.w.t dan merasakan ketenangan dengan penglihatan itu. Pada ketika itu tidak sepatah pun ucapan yang terucap olehnya dan tidak sepatah pun kalam yang terdengar padanya. Dia melihat nama itu tidak mempunyai kekuatan hukum apa pun selain-Nya. Bila nama dinafikan tibalah pada wusul (sampai). Bila tidak terlintas lagi nama tibalah pada ittisal (perhubungan). Nama yang tidak lagi terlintas disebabkan kuatnya tarikan dari yang dinamai. Makam ini dinamakan makam al-Buhut (kehairan-hairanan), kerana dia melihat Allah s.w.t dalam kehairan-hairanan, tiada ucapan kecuali pandangan. Inilah makam terakhir di mana semua hati terhenti di situ. Ia adalah tingkatan tertinggi tentang kecintaan terhadap zat Ilahiat.

 Pada tahap ini Nur-Nya memancar, menyinar, menjulang naik ke lubuk hati. Peringkat ini sudah tiada zikir dan tiada pula yang berzikir, hanyalah memandang bukan berzikir dan tiada berbalik kembali pandangannya. Inilah hal yang dikatakan faham dengan tiada huraian pemahamannya dan mencapai dengan tiada sesuatu pencapaiannya. Insan di dalam hal ini sudah tidak lagi memohon fatwa, tidak memohon perkenan, tidak meminta pertolongan dan ucapan juga tiada. Baginya setiap sesuatu adalah ilmu dan setiap ilmu adalah zikir. Inilah hamba yang telah benar-benar berjaya menghimpun semua makam dan martabat. Dia sudah melihat takdir-takdir dan melihat bagaimana Allah s.w.t menghalau takdir demi takdir dan melihat bagaimana Allah s.w.t mengulangi takdir-takdir itu dengan berbagai-bagai cara yang dikehendaki-Nya kerana sesungguhnya Allah s.w.t sahaja yang memulakan penciptaan dan Dia juga yang mengulanginya. Penglihatannya tidak berbolak-balik lagi. Dia melihat Allah s.w.t di hadapan dan di belakang apa yang dilihatnya dan melihat Allah s.w.t dalam segala yang dilihatnya.

Apabila kerinduan terhadap Allah s.w.t telah menguasai hati seseorang hingga kepada tahap tiada ucapan yang boleh diucapkan maka keadaan itu dikatakan melihat Allah s.w.t yang tiada sesuatu yang menyamai-Nya, sebagaimana firman-Nya:


Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran)-Nya, dan Dia jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. ( Ayat 11 : Surah asy-Syura )