Sunday, February 26, 2017

WARKAH TERBUKA YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN BUAT DYMM TUANKU SULTAN JOHOR

[2/26, 10:47 PM] ‪+60 19-451 9966‬: WARKAH TERBUKA YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN BUAT DYMM TUANKU SULTAN JOHOR

Assalamu'alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Terlebih dahulu patik merafak sembah memohon jutaan keampunan daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku di atas warkah patik yang tidak sepertinya ini. Patik terpaksa menjawab secara terbuka titah Tuanku mengenai patik yang telah dibuat secara terbuka dan pada hemat patik telah sedikit sebanyak mencemar nama baik patik. Walaupun Tuanku tidak menamakan patik secara khusus dalam titah tersebut, tetapi ramai pihak mentafsir bahawa patiklah yang Tuanku maksudkan.

Bukanlah niat patik untuk menderhaka kepada Tuanku dengan menulis warkah ini secara terbuka. Niat patik hanyalah untuk membersihkan nama baik patik yang kini telah dilihat sebagai seorang yang angkuh dan sombong sepertimana yang telah dititah oleh Tuanku.

Tuanku sendiri tahu bahawa patik tidak pernah bersikap angkuh dan sombong terhadap Tuanku. Ketika patik menjadi Menteri Besar Johor dan Tuanku adalah Pemangku Raja, hubungan kita amat akrab. Banyak hal-hal berkaitan pemerintahan negeri yang Tuanku kongsikan dengan patik dan patik telah mengurus Negeri Johor menjadi antara negeri termaju di Malaysia waktu itu. Hal ini telah diketahui umum dan tercatat dalam rekod negara.

Seingat patik, tidak pernah berlaku di zaman patik menjadi Menteri Besar, kerajaan negeri Johor tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar gaji kakitangan awam. Perbelanjaan diurus secara berhemah dan kerajaan negeri tidak berhutang atau meminjam utk membayar gaji.

Sebaliknya patik telah menubuhkan Tabung Amanah Warisan Johor di mana wang pampasan pembinaan Empangan Linggui berjumlah lebih RM300 juta yang diterima oleh Kerajaan Negeri Johor telah dimasukkan ke dalam tabung ini untuk kegunaan generasi akan datang. Kerajaan negeri Johor sebenarnya mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan. Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor juga adalah antara perbadanan kemajuan ekonomi negeri yang paling berjaya.

Ekonomi negeri Johor tumbuh pesat pada kadar purata 6.7% dari tahun 1991-1995. Dalam tempoh yang sama, pendapatan isi rumah kasar bulanan meningkat dari
RM1,152 kepada RM2,138 dan kadar kemiskinan juga berjaya dikurangkan daripada 9.8% kepada 3.1%. Ini menunjukkan bahawa rakyat negeri Johor telah menikmati kemajuan ekonomi yang pesat sewaktu patik menjadi Menteri Besar.

Patik juga telah menangani masalah perpecahan Melayu Johor dengan menganjurkan perhimpunan Melayu Johor. Krisis pindaan perlembagaan tahun 1993 yang melibatkan soal imuniti Raja-Raja Melayu juga ditangani dengan baik.

Ketika patik menjadi Menteri Besar, patik telah menjalin kerjasama yang baik dengan pegawai kerajaan dan rakyat. Urusan negeri dijalankan tanpa campurtangan dari pihak luar termasuk Istana. Waktu itu Almarhum Tuanku Sultan Iskandar tidak mencampuri perjalanan Kerajaan Negeri atau terlibat secara langsung dalam politik atau perniagaan. Patik jalankan semua urusan pentadbiran negeri berdasarkan dasar-dasar yang memberi faedah kepada rakyat.

Tidak ada tanah negeri Johor yang terlepas milikan secara kekal ke tangan warganegara asing. Tanah-tanah yang dipindah milik kepada para pelabur asing untuk tujuan pelaburan dalam bidang perindustrian  waktu itu hanyalah berstatus pegangan pajak (leasehold). Apabila tempoh pajakan berakhir, tanah-tanah tersebut perlu diserah semula kepada kerajaan. Tidak ada tanah yang tergadai kepada warga asing.

Sebaliknya, pembangunan yang pesat dalam bidang perindustrian telah berjaya menyumbangkan kemakmuran serta impak positif yang signifikan kepada ekonomi negeri Johor keseluruhannya. Malah ianya telah berjaya membuka peluang pekerjaan kepada bukan saja rakyat Johor tetapi juga kepada rakyat Malaysia di negeri lain yang berhampiran.

Pada waktu itu, kerjasama dengan Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad begitu akrab dan peruntukan yang banyak dicurahkan untuk memajukan negeri Johor. Patik juga diberi kebenaran untuk mengadakan hubungan kerjasama dengan Singapura secara langsung kerana sedar tentang begitu pentingnya Kerajaan Johor bekerjasama dengan Singapura bagi faedah rakyat negeri Johor.

Malahan selepas patik berhijrah ke Kuala Lumpur dan menjawat jawatan Menteri Pusat, negeri Johor senantiasa diberikan perhatian dan layanan yang adil. Patik masih ingat, ketika patik menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Tuanku baru sahaja ditabalkan menjadil Sultan, Tuanku menitahkan patik supaya menasihati Tuanku tentang bagaimana untuk memajukan lagi negeri Johor. Patik dengan amat berbesar hati menjunjung titah Tuanku.

Bilakah patik dikatakan angkuh dan sombong?

Patik dikatakan angkuh dan sombong selepas patik tidak lagi berada di dalam kerajaan setelah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO kerana menentang kemungkaran yang dilakukan oleh Najib.

Patik masih ingat sewaktu patik mengadap Tuanku selepas dipecat di waktu itu pun Tuanku menyatakan simpati dengan apa yang berlaku terhadap patik. Nyata, Tuanku murka dengan perlakuan Najib yang menyingkir patik.

Patik dikatakan angkuh dan sombong selepas patik menegur penjualan hartanah berstatus hak milik kekal di Forest City kepada warganegara asing atas sebab mempertahan kedaulatan negeri dan negara.

Apa yang patik lakukan selama ini adalah semata-mata untuk mempertahankan rakyat dan negara daripada kerosakan yang sedang dilakukan oleh Najib. Jika patik dikatakan angkuh dan sombong hanya semata-mata kerana patik berjuang menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran demi membela kepentingan rakyat dan negara, maka biarlah rakyat yang membuat penilaian.

Akhirnya, patik sekali lagi merafak sembah memohon keampunan daripada Tuanku di atas warkah patik yang tidak sepertinya ini. Patik sentiasa mendoakan kesejahteraan Tuanku dan mudah-mudahan negeri Johor sentiasa dilimpahi rahmat kemajuan, keamanan dan kemakmuran di bawah naungan Tuanku.

Amin ya rabbal alamin.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

26 Februari 2017
[2/26, 10:57 PM] ‪+60 19-451 9966‬: Simpan fakta ini.

Sultan-Sultan yang ada sekarang ini bolehlah mencontohi tindakan-tindakan oleh Ninda-Ninda Baginda dahulu. Tidak mudah murka walau ditegur oleh tokoh-tokoh Melayu rakyat biasa.

Hayatilah kesah tujuh anak Muar memulakan penentangan terhadap penubuhan Malayan Union walaupun sudah ditandatangani oleh semua Raja-Raja Melayu dahulu.

Semoga kesah ini menginsafkan kita semua.

……………………………………………………………

KEBANGKITAN ORANG TUJUH MUAR – Langkah Jebat Menentang Malayan Union

#AnakJatiMuar

Sejarah merupakan satu khazanah penting untuk dipelihara supaya ia akan menjadi satu pelajaran dan iktibar kepada jenerasi jenerasi akan datang. Ia memberi satu gambaran dan fahaman di mana asas serta benteng yang telah dibina oleh orang orang lama dirasai nikmatnya oleh generasi yang akan menyusulinya.

Walaubagaimana pun, ada peristiwa peristiwa yang cukup penting dan bermakna yang tidak diketahui umum di atas sebab sebab yang kita sendiri tidak mengetahuinya.

Satu daripada peristiwa yang cukup penting ini ialah kebangkitan tujuh orang anak kelahiran Muar menentang penubuhan Malayan Union.

Alhamdullillah, saya masih hidup dan dapat berkongsi cerita sebenarnya kepada anak anak muda Muar betapa besarnya pengorbanan orang tujuh ini terhadap bangsa, agama dan tanahair kita. Bacalah cerita sebenarnya:

Pada 11 Oktober 1945, dengan senyap senyap dan tidak diketahui umum, wakil khas kerajaan British yang bernama Sir Harold MacMichael telah tiba diPort Swettenham (sekarang Port Klang) dengan membawa satu utusan serta cadangan, iaitu untuk menubuhkan apa yang dipanggil Malayan Union. Iaitu gabungan semua negeri negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu, termasuk Straits Settlement. iaitu negeri Melaka dan juga Pulau Pinang.

Penubuhan ini akan memberi kerakyatan penuh kepada semua bangsa, termasuk bangsa Cina dan India dan mereka akan menjadi rakyat setaraf dengan bangsa Melayu. Di samping itu, semua Sultan di negeri masing masing akan hilang kedaulatan mereka dan Sultan Sultan akan bertanggungjawab kepada seorang pemerintah British yang akan bergelar Governor-General.

Setibanya di Port Swettenham, Sir Harold MacMichael terus berangkat ke Kuala Lumpur dengan diiringi oleh Sir Alec Newboult. Di Kuala Lumpur beliau terus pergi ke King’s House untuk berbincang dengan pegawai pegawai British yang bertugas di Kuala Lumpur.

Untuk menjadikan Malayan Union satu kenyataan, semua Sultan Sultan perlu menandatangani satu perjanjian dengan kerajaan British dengan memberi persetujuan yang tidak berbelah bagi.

Ketika itu, Almarhum Sultan Ibrahim Johor merupaka Sultan yang sangat dihormati dan disegani oleh Sultan Sultan negeri lain. Jadi, untuk memudahkan tanggungjawabnya, Harold MacMachael mengesyorkan supaya mendapatkan tandatangan Sultan Johor terlebih dahulu.

Pada 20b Oktober, beliau telah dapat berjumpa dengan Sultan Johor dan setelah menerangkan butit-butir penubuhan Malayan Union, Sultan Johor pun menandatangani surat perjanjian itu dan bersetuju di atas penubuhan Malayan Union tadi. Dengan ini, kerja beliau menjadi lebih senang dan mudah untuk berbincang dengan Sultan-Sultan negeri lain.

Surat perjanjian di antara Sultan Johor dengan kerajaan British disaksikan oleh Tengku Ahmad dan Encik Abdul Kadir.

Pada 20 Oktober 1945, MacMichael berjumpa dengan Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah dan Sultan Selangor juga menandatangani surat perjanjian itu. Ia disaksikan oleh Encik Hamzah dan Raja Nong.

Pada 2 November 1945, Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Riayatudin Al-Muazzam Shah telah menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Tunku Mohammad dan G.E. Mohammad.

Pada 14 November 1945, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan menandatangani surat perjanjian itu bersama sama dengan empat Undang seperti berikut:

Undang Sg. Ujong – Dato Kelana Putra.
Undang Jelebu – Dato Shahruddin.
Undang Johol – Dato Johol
Undang Rembau – Dato Hipap
dan Tengku Sharifah Loyah mewakili Tunku Besar Tampin.

Surat perjanjian ini disaksikan oleh Tengku Nasir, Tengku Jaafar dan Tengku Hussain.

Pada 22 November 1945, Sultan Perak, iaitu Sultan Abdul Aziz telah menandatangani surat perjanjian dengan disaksikan oleh Raja Yusof, Raja Muda Perak dan Dato Temenggong.

Pada 2 Disember 1945, Sultan Kedah, iaitu Sultan Badlishah telah menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Encik. M. Shariff dan Encik Yaakub.

Pada 12 Disember 1945,Raja Perlis pula telah menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Encik Ahmad dan Encik Wan Ahmad.

Pada 17 Disember 1945, Sultan Ibrahim dari negeri Kelantan telah menandatangani surat perjanjian itu dengan disaksikan oleh Tengku Ibrahim Petra dan Nik Ahmad Kamil..

Pada 21 Disember 1945, Sultan Terengganu, iaitu Sultan Ismail Nasirudin Shah telah menandatangani surat perjanjian dan disaksikan oleh Dato Omar dan Tengku Halim.

Maka berjayalah Harold MacMichael untuk mendapatkan semua tandatangan Sultan Sultan dalam Persekutuan Tanah Melayu. Ini bermakna rancangan untuk menubuhkan Malayan Union tiada lagi halangan.

Pada 6 Januari 1946, berangkatlah MacMichael ke England dengan kesemua surat surat perjanjian itu. Pada 22 Januari 1946, satu kertas putih telah dibentangkan di dalam parlimen kerajaan British untuk kelulusan.

Setelah mendapat kelulusan parlimen British, satu Warta Kerajaan British yang mengandungi butir butir berkenaan penubuhan Malayan Union di Tanah Melayu telah disiarkan oleh pihak berkuasa Pentadbiran Tentera British (BMA) di Tanah Melayu untuk pengetahuan rakyat dan penduduk Tanah Melayu.

Sebaik sahaja tersiar Warta Kerajaan British itu, seluruh bangsa Melayu telah terkejut dan merasa Kertas Putih itu adalah satu cabaran yang tajam, menyentuh maruah bangsa Melayu.

Tidak ada perkataan yang dapat menyifatkann bagaimana perasaan orang orang Melayu ketika itu– perasaan geram dan marah yang meluap luap terhadap perbuatan Kerajaan British dan perasaan kesal dan dukacita terhadap terlanjurnya Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan baginda baginda keatas perjanjian MacMichael yang memperdayakan itu.

Tetapi, apakan daya, semua surat perjanjian itu sudah menjadi kertas rasmi dan tidak dapat diperbetulkan lagi. Nasib bangsa Melayu kini akan hancur dan kedaulatan bangsa Melayu akan hilang di tanah tumpah darah datuk nenek moyang mereka sendiri.

Di Johor Bahru,

Setelah mengetahui butir-butir kandungan Perjanjian MacMichael itu, beberapa orang pemimpin Melayu Johor yang diketuai oleh Dato Abdul Rahman bin Mohammad Yasin telah membantah dengan sekeras-kerasnya. Sebaik-baik jalan memansuhkan perjanjian itu ialah membuktikan bahawa Sultan Johor telah bertindak di luar batasan Undang-Undang Tubuh negeri dan perbuatannya tidak sah dari segi undang undang.

Dato Abdul Rahman yang berasal daripada Parit Bakar, Muar terus pulang ke Muar untuk berjumpa dengan pejuang-pejuang Melayu ketika itu. Di antara orang pertama yang beliau berjumpa ialah Dr. Hamzah, Hj. Taib dan Ciku Kosai. Dr. Hamzah merupakan anak Melayu Johor pertama menjadi doktor di negeri itu. Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk menentang perbuatan Sultan, bukan untuk menderhaka kepada baginda, tetapi lebih untuk menyelamatkan kedudukan baginda sebagai Sultan berdaulat di negeri Johor.

Apabila mendegar cadangan untuk menentang penubuhan Malayan Union ini, dua orang lagi anak Muar tampil kehadapan untuk memberi bantuan dan kerjasama. Mereka adalah dua beradik yang bernama Cikgu Ahmad Suleiman dan Cikgu Safiah Suleiman.

Di dalam satu jamuan makan malam di rumah Dr. Hamzah Hj. Taib, dua orang lagi penjuang dari Muar hadir untuk memberi bantuan. Mereka ialah Hj. Hassan Yunos (sepupu kepada Dato Abdul Rahman) dan Dr. Awang bin Hassan (saudara rapat dengan Dato Abdul Rahman dan Dr. Hamzah).

Secara kebetulan, Dato Abdul Rahman ketika itu ialah Pegawai Keawangan Negeri Johor, Hj. Hassan Yunos pula ialah Mufti Kerajaan Negeri Johor, dan Cikgu Kosai ialah Pegawai Jabatan Hutan.

Mereka telah membuat satu risalah menerangkan kepada orang ramai bahawa perbuatan Sultan Johor adalah salah disisi undang-undang tubuh kerajaan negeri Johor. Risalah itu disebarkan kepada seluruh negeri Johor dan rakyat Johor mula memberi sokongan kuat kepada gerakan mereka.

Dato Abdul Rahman berhasrat untuk mengandap baginda Sultan tetapi dihalang oleh pegawai-pegawai istana. Malah kesemua mereka telah digantung kerja masing masing, tetapi ini tidak memantahkan semangat mereka.

Hari demi hari, sokongan rakyat Melayu Johor semakin bertambah dan ini membimbangkan pihak Istana. Pada ketika ini, Dato Onn Jaafar langsung tidak menyebelahi gerakan mereka.

Maka mereka bersepakat untuk menghantar satu petisyen bantahan kepada baginda Sultan dan setelah berbincang, mereka mencadangkan agar Hj. Hassan Yunos seorang sahaja mengandap baginda Sultan dan statusnya sebagai Mufti Kerajaan Negeri membolehkan perkara ini berlaku.

Satu perutusan telah dihantar kepada baginda Sultan supaya menerima kunjungan Hj. Hassan Yunos. Alhamdullillah, baginda Sultan bersetuju untuk berjumpa dengan Hj. Hassan Yunos.

Pada hari yang telah ditetapkan, ramai penyokong penyokong telah berhimpun di perkarangan Masjid Abu Bakar di Johor Bahru. Jarak antara Masjid Abu Bakar dan Istana Besar tidaklah begitu jauh. Maka berjalanlah seorang diri Hj. Hassan Yunos menuju ke Istana dengan membawa petisyen tersebut.

Menurut anak Hj. Hassan Yunos, iaitu Encik Murad (sahabat rapat saya), apabila ayahnya sampai di tangga Istana Besar, lututnya megeletar dan susah untuk menaiki tangga. Perasaan takut memang ada tetapi tanggungjawab untuk menjaga maruah bangsa Melayu tidak boleh dipermainkan. Beliau mendoa ke hadarat llahi supaya memberikan dia semangat yang kuat apabila mengadap baginda Sultan nanti.

Setibanya di pintu besar Istana, seorang pegawai Istana menjemputnya ke ruang tamu sambil menunggu keberangkatan baginda. Tidak lama kemudian, munculah baginda Sultan, lantas Hj. Hassan terus bangun dan mencium tangan baginda. Dijemputnya Hj. Hassan supaya duduk dan dengan penuh tertib, Hj. Hassan menerangkan satu persatu di mana kesalahan baginda.

Apabila habis penerangan Hj. Hassan Yunos kepada baginda Sultan, barulah baginda sedar yang perbuatan baginda itu adalah salah disisi undang undang tubuh negeri Johor. Baginda Sultan berjanji dengan Hj. Hassan yang baginda akan menarik balik perjanjian itu. Maka gembiralah Hj. Hassan bahawa beliau telah berjaya mengajak baginda kembali ke pangkal jalan yang sebenar. Baginda Sultan menerima petisyen itu dan mengucapkan selamat jalan kepada Hj. Hassan.

Suasana di perkarangan Mesjid Abu Bakar cukup resah dengan penyokong-penyokong menunggu kepulangan Hj. Hassan dari Istana. Tidak lama kemudian, mereka melihat Hj. Hassan berjalan menuju keMesjid Abu Bakar dengan mengangkat tangan tanda kejayaan.

Dengan tiba-tiba suasana menjadi riuh rendah, ada yang menjerit jerit tanda kesukaan dan ada yang menandah tangan kelangit untuk melafazkan kesyukuran kehadrat Allah. Dato Abdul Rahman dan rakan rakan seperjuangannya berpeluk peluk sambil menangis kegembiraan. Mereka telah berjaya untuk mematahkan penubuhan Malayan Union.

Beberapa hari kemudian, baginda Sultan Johor telah menulis sepucuk surat kepada kerajaan British dengan kandungan isinya seperti berikut:

“Beta tidak dikerasi dan dikejut kejut dan beta tidak menurunkan tandatangan denga penuh kemahuan akan tetapi setelah memikirkan semula perkara itu beta berpendapat bahawa beta telah menyain perjanjian itu dengan tidak terlebih dahulu menyiasat dengan sehalus halusnya seperti yang sepatutnya diperbuat dan malangnya beta tidak sedar akan kesan kesan yang mengenai lebih jauh.

Oleh hal yang demikian, beta suka menyatakan iaitu di dalam hal yang demikian beta tidak sanggup lagi bertanggungjawab kepada persetujuan yang beta berikan mula mula itu.”

Setelah mendengar yang baginda Sultan Johor telah menarik balik surat perjanjian itu, kesemua Sultan Sultan lain telah mengikut jejak yang sama. Maka apabila orang orang Melayu mendapat tahu bahawa Raja-Raja Melayu telah menarik balik perjanjian mereka, seluruh rakyat Melayu bangkit dengan penuh bersemangat. Di saat inilah baru munculnya Dato Onn Jaafar.

Begitulah pengorbanan yang telah diberikan oleh pejuang-pejuang anak kelahiraan Muar kita. Mereka sanggup melawan Sultan bukan untuk menderhaka tetapi untuk menjaga supaya institusi Raja Raja terpelihara.

Mengapakah mereka digelar Orang Tujoh Muar? Ini oleh kerana hanya tujuh orang yang menandatangani petisyen kepada Sultan.

Cikgu Kosai sebenarnya berkelulusan tinggi, iaitu dari Cambridge, England. Oleh kerana beliau bermula kerja sebagai saorang guru, maka panggilan Cikgu Kosai cukup mesra dengannya.

Hj. Hassan kemudian menjadi Menteri Besar Johor dengan gelaran Tan Sri. Dr. Hamzah Hj. Taib meninggal dunia semasa masih muda. Dr. Awang Hassan kemudian menjadi Gabenor Pulau Pinang dengan gelaran Tun.

Begitulah kisah perisitwa yang cukup bermakna ini. Marilah kita menghadiahkan Al Fatihah kepada tujuh anak kelahiran Muar yang mana jasa mereka kepada bangsa Melayu tidak terhingga besarnya.

Al Fatihah buat :

Allahyarham Dato Abdul Rahman Mohd. Yassin.
Allahyarham Dato Suleiman Abdul Rahman.
Allahyarham Tan Sri Hj. Hassan Yunos.
Allahyarham Tun Dr, Awang Hassan.
Allahyarham Dato Kosai.
Allahyarham Encik Ahmad Sulaiman.
Allahyarhamah Cik Safiah Sulaiman.

Wasallam.

Sumber dari : Dato Kamaruddin Abdullah

Penulis buku ‘Pages From My Past’

http://www.alumniuitm.org.my/site/?p=9576